Thursday 16 January 2014

GILA YANG TIDAK GILA

Salam santun atas pecinta Allah Ta'ala yang dirahmati dan diberkati-Nya sekalian, mudah-mudahan kita termasuk dalam kekasih yang terus dilimpahkan kecintaan-Nya yang tiada henti arus derasnya. Bagi mereka yang benar-benar mengenal-Nya, pasti akan mencintai-Nya kerana ungkapan mahsyur, "tiada kenal maka tiada cinta" sememangnya besar intipati pengajaran untuk direnungkan. Kerananya hidup ini tidak lain dan tidak bukan adalah mengenali diri-Nya yang memiliki segala kesempurnaan dan kemuliaan. Sanjuangan, agungan dan pujian layak disertakan ke atas-Nya kerana hanya Dialah Yang Maha Nyata berdiri dengan sendirinya.

Tentu sahaja sukar sekali untuk mengungkapkan kecintaan yang tulus mendalam di dalam nurani hati yang tersemat pada batin yang luas ini. Hendak disimpuhkan kepada pelbagai wacana, tulisan, ucapan dan perbahasan sememangnya tiada dapat mencapaikan akan maksud sebenar ia mahu ditujukan. Walaupun kiasan dan pembuka faham diberi, namun sama sekali jauh daripada sebenar-benar kenyataan yang ternyata daripadanya. Bagi yang tidak merasa, maka tiadalah faham padanya. Mahu atau tidak, perlulah tenggelamkan diri dalam rasa yang sejati untuk dihayati sebagai penghayatan yang didendangkan ke atas diri mereka yang telah menemukan cinta abadi.

Mabuk dalam kerinduan dan kegilaan dalam kecintaan sememangnya akan menyinggung orang-orang yang tiada merasa senang. Manakan tidak? Seorang ibu sanggup mengorbankan segala dirinya demi kebahagiaan anaknya yang tercinta. Lautan bara api bukanlah kesakitan baginya, tetapi apalah nilainya untuk dibandingkan jika ia dihamparkan kasih yang tiada terbalas untuknya. Orang-orang tidak mengerti pastinya akan melemparkan semacam-macam aneka semata-mata untuk membuat persepsi dan andaian yang buruk yang padanya tidak sedikit pun menggambarkan gambaran sebenar tentang apa yang mereka saksikan. Sesungguhnya pandangan jelekan itu telah pun berjaya memperdaya diri mereka sendiri dan terus berlegar-legar dalam kesesatan yang tiada sedar akan sesatnya ia!

Itulah lumrah kehidupan kerana ada sahaja yang cuba membawa tajdid kononnya mahu memperbaharui konsep yang telah lama murni sebati dalam kalangan pecinta. Tetapi apa yang lebihnya hanyalah ura-ura kosong yang tiada sandarannya dan mereka terbelenggu dalam kegelapan yang membutakan hati mereka. Ilmiahnya menggunung menewaskan gagah sang pelanduk yang lincah dan tangkas dalam melepaskan dirinya, tetapi jurang kedudukannya hanyalah serendah-rendah bumi jika dibandingkan sebenar-benar apa yang di langit. Dengan pelbagai kemahsyuran, kepujian, pengiktirafan dan pujaan dari orang-orang kononnya layaklah mereka memegang takhta diraja. Alangkah pilunya semua itu adalah bala yang membawa mereka jauh daripada rahmat yang membuka pintu langit kasih Tuhan Yang Maha Tinggi.

Biarlah apa pun perlecehan dan perlekehan ke atas diri mereka, di sisi makhluk yang tiada memahaminya pasti dengki dan benci akan menebal sehingga tiada cahaya pun dapat meneranginya lagi. Terawang-awang dalam angkasa yang tiada penghujung, sang pecinta telah menemukan titik sebenarnya yang membawa pertemuan Tuhan yang dirindui. Siapa lagi kalau bukan Allah!? Manakan Tuhan selain Allah yang dapat membelai kasih yang suci sepertimana sang ibu yang mendakap anaknya dengan kasih sayang!? Padahal Allah-lah yang melebihi segala sesuatu!



Itulah yang perlu direnungi sebaik-baiknya kerana orang tersesat pesongan jauh tiadalah cinta daripada-Nya untuk dibalaskan. Hanya diduai mabuk perasaan yang semata-mata bertepuk sebelah tangan. Kasihan mereka yang tiada merasakan sentuhan daripada pandangan mata-Nya yang mengisi kekosongan jiwa yang kekeringan dahaga. Mereka tercari-cari kebenaran sejati yang akan menghiasi keindahan kehidupan seputar perjalanan hidup dan mati mereka. Namun, sayangnya hijab yang kukuh akibat kerana noda dosa yang bergelimpangan, semuanya mematikan kesedaran hati untuk dibawakan sebuah kenyataan yang tiada lagi tipu daya.

Tuduhan gila serta pelbagai lagi tohmahan dan cemuhan ke atas para pecinta sememangnya menjadi tempias daripada mereka yang tidak mengerti. Apakah mereka tidak memikirkan bahawa adakah sama orang yang buta dan orang yang celik? Jangan tertitpu dengan tipu daya ke atas diri sendiri kerana persangkaan yang menggarapkan keyakinan itu adalah kepalsuan semata-mata bagaikan sijil yang tiada perakuan sahnya. Sedar atau tidak, semuanya terbakar hangus dan meracuni mereka perlahan-lahan kerana tidak berjaga-jaga atas penilaian dan pengolahan mereka dalam tanggapan yang tertutup posisi yang sebenarnnya.

"Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya goncangan kiamat itu adalah suatu yang sangat besar. Pada hari ketika kamu melihatnya, semua perempuan yang menyusui anaknya akan lalai terhadap anak yang disusuinyam dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu sangat keras" (Surah al-Hajj ayat 1-2).

Pabila hadirnya kegoncangan waktu itu, ketakuan akan mewarnai suasananya. Berlarian sambil bertempik melolong menyelamatkan diri masing-masing tanpa lagi endah siapa untuk diselamatkannya dan apa yang perlu diselamatkan, asalkan mereka semua dapat menyelamatkan diri masing-masing. Tiada berguna lagi pada waktu itu, penyesalan yang berat sekali pun tiada diterima kerana telah berlalunya tempoh yang ditetapkan untuk mengharapkan keampunan daripada Allah Yang Maha Pengampun. Pada hari itu, mereka semua mabuk tetapi hakikatnya tiada mabuk bagi mereka dek kegusaran dan pelbagai perasaan yang mendatang memberati mereka.

Itulah mereka yang telah menyaksikan kehebatan kiamat yang ditakuti oleh ramai orang yang mempercayainya mahupun yang terus bermitos-mitos akannya. Apa pun yang berlaku, janji Allah tetap dilaksanakan walaupun lama masa berlalu untuk dinantikan saatnya. Bagi mereka yang punyai pandangan jauh dengan mukasyafah dan musyahadah sememangnya akan merasakan kedekatan dan hal keadaan suasana yang mengerumuni hari yang besar.

Tetapi jauh lebih hebat pandangan mukasyafah dan musyahadah seseorang yang telah menyaksikan Allah yang punya sifat keagungan dan kehebatan. Al-Qahhar, Al-Jabbar, Al-'Aziz, Al-Mulk, Al-Mutakabbir dan sifat-sifat Nya yang tiada terkira akan bilangannya mampu meremukkan hati mereka yang mengenal dan memahami sifat yang meliputi diri-Nya dan sekalian alam. Sesak dada, menggigil ketakutan, rebah, lumpuh, lemah, mabuk, pitam dan pengsan sememangnya menghentakkan diri mereka yang lemah dan tiada berdaya.

Tiada suatu dosa kecil pun ke atas diri mereka jika dihadapkan pada keadilan-Nya. Sekecil-kecil zarah itu pun akan jadi penilaian di sisi-Nya. Menyedari dosa dan silap yang mereka menzalimi atas diri mereka sememangnya akan gempar dan takut sekiranya atas sebab kegelapan itu akan menjadi bahan bakar api neraka yang membara! Manakan mahunya sanggup ia berdiri dengan megah jika selendang pakaian kemegahan hanya selayak bagi-Nya. Kesombongan mereka pasti akan dicampakkan pada Jahannam yang tiada terperi azabnya.

Sifat-sifat keperkasaan itulah akan mencetuskan hal suasana hati mereka yang kecut untuk terus mengungkapkannya lagi kerana lidah mereka terkatup dalam kekuasaan-Nya. Mereka bagaikan mabuk orang yang trauma kerana tidak mampu lagi menahan sifat-sifat-Nya yang membekas jiwanya. Sepertimana mereka melihat pisau di mata zahirnya, tetapi mata batinnya melihat ketajamannya, lebih hebat lagi Allah yang tiada bandingan dan tandingan ke atas-Nya. Neraka yang merupakan penzahiran kekuatan Allah, menyebabkan mereka tunduk dan rebah mengharapkan kekuatan daripada-Nya serta keampunan-Nya kerana kezaliman atas diri mereka sendiri.

Mereka bagaikan orang yang gila, terhuyung hayang bagai tiada arah kerana di mana sahaja mereka palingkan di situlah Al-Qahhar, Al-Jabbar, Al-Mulk, Al-'Azim, Al-Muntaqim dan selainnya menggenggam seluruh isinya. Sangka orang mereka berkelamun dalam ketidakwarasan yang tiada logika, tetapi mereka sebenarnya buta mata hati untuk tampak tajalli Tuhan yang nyata di setiap penjuru pandangna mereka. Alangkah jeleknya mereka tidak merasakan keperkasaan Allah yang sememangnya akan membuatkan orang yang tidak gila menjadi gila kerana terlalu hebatnya Allah yang berkuasa.

Mereka itu tidak pernah merasa sepertimana layak seorang hamba merasakannya. Hanya berandaian dengan fikir-fikiran tanpa menyelami rasa yang sebenarnya tentang sifat Allah yang agung. Kebodohan terus menguasai diri mereka. Tidakkah mereka melihat diri mereka itu penuh dengan kesombongan dan kebutaan? Mereka semata-mata mencari logika dan perbahasan teks semata-mata padahal semua itu sememangnya tidak layak bagi mereka untuk mengambil autoriti kerana mereka hanya duduk bersandar di tepian kesesatan yang menghumban mereka kegelapan yang bergelumang.

"... di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya adalah para ulama'..." (Surah Fatir ayat 28). Mereka sangka dengan banyaknya riwayat mampu mengangkat mereka menjadi ulama', padahal hati mereka kosong dengan cahaya Allah yang benderang. Semata-mata hijab yang kian menebal sehingga terhimpit dalam kejumudan penjara yang menutupi ruang kebebasan mereka. Lidah-lidah mereka membara menekan orang untuk takut dan bertakwa pada Allah, tetapi hanya sekadar ucapan yang tiada isinya. Bagaikan mencurah air ke daun keladi sahaja yang mendapatnya dan dirinya pula terus bertambah rugi dan rugi.

Lihatlah antara yang menunjukkan sikap takut Imam Al-Hasan al-Basri kepada Allah, diriwayatkan suatu ketika dalam majlisnya, beliau minta air minum. Ketika air minum datang tiba-tiba al-Hasan al-Basri langsung pengsan. Lama tidak sedar, setelah siuman beliau ditanya, "Apakah yang membuatmu pengsan?". Al-Hasan Al-Basri menjawab, saya teringat firman Allah, "Dan ketika mereka (penduduk neraka) minta minum, maka mereka yang diberi minum dengan air seperti besi ynag mendidih yang dapat menghanguskan muka. Itulah seburuk-buruknya minuman dan seburuk-buruknya tempat berisitehat" (Surah al-Kahfi ayat 29).

Selamilah bagaimana pula orang-orang 'arifin yang mengenal kehebatan Allah sehingga mereka seolah-olah menjadi gila padahal mereka sebenarnya tidak gila. Tertipu dengan pandangan zahir sememangnya akan menghasilkan persepsi yang terlencong tanpa menerangkan sebenar-benarnya hakikat yang berlaku pada dirinya. Ingatlah wahai teman, bahawa rasa yang tidak berbahasa tidak akan sampai pada yang bahasa. Jika masih menggali-gali teks untuk difahamkan rasanya, ketahuilah bahawa itu usaha yang sia-sia kerana apalah gunanya seseorang yang ingin melebarkan perbahasan panjang tentang gula tetapi tiada mahu merasakan kemanisan gula yang sebenar-benar rasanya? Itulah kerugian bagi mereka yang tertutup hatinya untuk difahaminya.

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik Al-Anshari RA, pelayan Rasulullah SAW berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya daripada gembiranya seseorang dari kamu sekalian yang menemukan kembali unta-untanya yang telah hilang di padang sahara" (Muttafaqun 'Alaih).

Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan, "Sesungguhnya Allah itu lebih gembira daripada taubat hamba-Nya ketika bertaubat kepada-Nya daripada gembiranya seseorang dari kamu yang berkenderaan di suatu tanah yang luas, kemudian menghilanglah tunggangan atau kenderaan itu dari dirinya, sedangkan di situ ada makanan dan minumannya. Orang tadi kemudian berputus asa. Kemudiannya dia mendatangi sebuah pohon terus tidur berbaring di bawah naungannya, sedang hatinya sudah berputus asa sama sekali dari kenderaannya tersebut. Tiba-tiba di kala dia berkeadaan sebagaimana di atas itu, kenderaannya itu nampak berdiri di sisinya, kemudian dia mengambil ikatnya. Oleh sebab sangat gembiranya, maka dia berkata, Y"a Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Tuhan-Mu". Dia menjadi salah ucapannya kerana amat gembiranya".

Begitu jua orang-orang yang mengenal akan Allah yang sememangnya jua meliputi kelembutan dan kehalusan seni-Nya yang memukau hati. Bagi hamba-Nya yang dicintai sememangnya segala kekosongan hatinya pasti akan dipenuhinya walaupun tanpa meminta. Bagi hamba-Nya yang dikasihi, tiada sesekali ia membiarkannya hanyut dalam pandangan terhadap selain-Nya. Bagi hamba yang terbuka makrifat-Nya, hanyalah segalanya kepada Allah Ta'ala diserahkan dan dikembalikan.

Imaginasi yang tiada tergambar, kata-kata yang tiada bahasa, suara yang tiada bunyinya, penglihatan yang tiada tampaknya, lukisan yang tiada lakarannya, coretan kalimah yang tiada ayatnya dan segala macam yang tiada penjelasan untuk menggambarkan kemurahan dan kasih sayang Allah yang menaungi kekasih-Nya yang sejati. Ucapan baik-baik dan puji-pujian sememangnya akan mendendangkan sayu-sayu alam yang tiada jemunya malaikat bertasbih dan pada langit dan bumi untuk terus mengalunkan tasbihnya kepada Allah.

Mereka yang telah tenggelam dalam lautan samudera cinta pada Allah, sememangnya sebuah kisah yang hebat merentasi sempadan layaran gelora ombak lautan. Mengungkapkan setinggi-tinggi syukur bahawa telah menerima Allah taubatnya dan mengambilnya sebagai kekasih-Nya sememangnya akan memperteguhkan hati mereka untuk menghadapi lantunan bertubi-tubi akan getir pancarobanya. Penyerahan mutlak dan tawakkal yang total membuahkan hasil yang tiada terkira nikmatnya yang terus menerus membasahi kekeringan bumi yang kekontangan. Setelah lama dahaga dan rebah di atas tandus gersang tanah yang membakari dirinya, akhirnya hujan yang dingin dan angin-angin yang tenang menghembusi dirinya.

Apalagi untuk diriangkan, padahal Allah tiada menyia-nyiakan nikmat bagi orang yang beriman! Apakah tidak mengerti akan mereka sentuhan kasih Allah yang rahmat-Nya mendahului murka-Nya? Mereka bagaikan keladi yang pabila dicurahkan air ke atasnya, hanyalah kesia-siaan kerana tertutupnya kesedaran atas mereka untuk mengamati keindahan dakapan Allah yang menyejukkan hati orang-orang Muslim. Terus menerus dalam sentimen kebencian serta terus menuduh orang-orang yang tidak berintelektual seperti mereka layak dijatuhkan hukuman setimpal.

Mereka tidak sedar bahawa mereka telah mencabar kekasih Allah yang diisytiharkan perang ke atas sesiapa yang memusuhi wali-Nya. Kerana ujub, takjub dan sombong telah hidup dalam hati ini, sememangnya pada mereka akan sesuka hati menyepak dan memijak pada mereka sukai. Dakyah kononnya pembawa kebenaran dan memperbetulkan kerosakan pada masyarakat, tetapi merekalah yang celaka di sisi Allah kerana diri mereka terjajah dalam penipuan proksi iblis yang bersembunyi. Mereka buta kenyataan Allah yang terpampang di hadapan matanya, tersedia pelbagai jamuan enak mahupun peringatan yang keras daripada-Nya, namun semua itu tidak akan dikompromi semata-mata tiada bersesuaian dengan perut mereka.

Rasulullah SAW yang menganjurkan cinta dan rahmat sejati demi penyempurnaan akhlak yang agung, mengingatkan akan diri kita bahawa Allah sentiasa menerima taubat hamba-Nya dan terus mengasihi kekasih-Nya walaupun sekelumit jari ini yang tersisip, tetapi itu semua tiada dipandang di sisi-Nya. Hanya hati-hati yang bersih dan benar-benar ikhlas menghadap-Nya pasti akan dikabulkan sentoasa yang mewarnai syurga sebenar mereka. Kegembiraan inilah yang menyebabkan kata-kata mereka sukar untuk difahami, malah terkelumit kata-kata mereka sepertimana yang waras kerana sentuhan halus daripada-Nya tiada terukir di pahatan dinding untuk digambarkan cinta sejati pada-Nya. Jika mampu pun, pasti akan berderai gunung yang gah kerana besarnya makrifat Allah itu.

Diceritakan bahawa Abdul Bari, rahimahullahu Ta'ala, katanya, sekali peristiwa aku berjalan dengan saudaraku Zin-Nun rahimahullahu ta'alah, tiba-tiba kita terlihat ramai kanak-kanak sedang melempar seseorang di situ dengan batu. Zin-Nun bertanya kepada kanak-kanak itu, "Apa yang kamu mahu dari orang ini? Mengapa kamu melemparinya dengan batu?". Menjawab kanak-kanak itu, "Ini orang gila! Dia mengaku dirinya melihat Allah Ta'ala". Maka kita pun mendekati orang itu, dan dia ternyata masih muda orangnya dan kelihatan pada wajahnya tanda-tanda dia orang soleh yang Arif. Kami pun memberi salam kepadanya, serayat berkata kepadanya, "Kanak-kanak ini mengatakan yang engkau melihat Allah Ta'ala!?". Pemuda Arif itu kelihatan kurang senang mendengar pertanyaan itu, lalu berkata, "Pergilah kamu dari sini, wahai orang yang jahat! Andaikata aku kehilangan-Nya kurang daripada sekelip mata, nescaya aku akan mati seketika itu juga". Kemudian dia merangkapkan madah ini :

Harapan pecinta kepada yang dicintainya ialah keredhaannya,
Cita-cita pecinta kepada yang dicintainya ialah pertemuannya,
Dia selalu memerhatikannya dengan pandangan hatinya,
Bukankah hati itu mengenal Tuhannya pabila dilihatnya?!
Ridhalah hatinya dengna yang dicintainya bila dekat dengannya,
Biar jauh semua makhluk sebab tidak perlu selain daripadanya...

Setelah mendengar rangkaian madahnya itu, aku pun bertanya kepadanya lagi:, "Apakah engkau memang benar gila?!", tanyaku. "Kalau di kalangan bumi, iya, tetapi di kalangan penghuni langit, tidak!", dia menjawab. "Bagaimana keadaanmu dengan Tuhanmu?", kataku lagi. "Sejak aku mengenali-Nya tidak pernah aku mensia-siakan-Nya", jawabnya. "Sejak bila engkau mengenali-Nya?", tanyaku pula. "Sejak aku dikenali sebagai orang gila!", jawabnya.

Pabila datangnya haq dan terbitlah ia sinar benderang cahaya kebenaran, lalu lenyaplah bathil itu yang tersisihnya kegelapan yang mendung. Dahulunya penderitaan, kekosongan, keperitan dan keseksaan terus membantai jiwa ini, akhirnya sentosa dari cahaya itu menghangatkan sebuah nyaman udara untuk terus dinikmati hirupannya. Angin segar yang menumbuhkan kecintaan ini sememangnya tiada lagi dapat untuk terus ditahankan gembiranya, melainkan laungan sang pecinta terus bermadah kasih pusi pada kekasihnya. Itulah orang-orang yang benar. Padanya sentiasa kejayaan dan keberuntungan terus mengisi mereka.

Maka ketika perempuan itu mendengar cercaan mereka, diundangnyalah perempuan-perempuan itu dan
disediakan tempat duduk bagi mereka dan masing-masing diberikan sebuah pisau (untuk memotong makanan jamuan), kemudian dia berkata (kepada Yusuf), "Keluarlah kepada mereka". Ketika perempuan-perempuan itu melihatnya, mereka terpesona kepadanya dan mereka melukai tangannya sendiri (tanpa sedar). Seraya berkata, "Maha Sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Ini benar-benar malaikat yang mulia!" (Surah Yusuf ayat 31).

Jika ketampanan Nabi Yusuf AS telah pun memikat hati wanita itu sehingga tiada sedar ia telah melukai tangannya sendiri ketika memotong. Apatah lagi, malah lebih hebat lagi seorang 'arifin yang memandang keindahan Allah yang serba indah kesempurnaannya. Mereka yang mengenal-Nya lalu menyaksikan-Nya dengan sebenar-benar kesakisan membuka lembaran yang tiada terkata akan keajaiban-Nya. Maha Suci Allah Ta'ala yang dirupa-rupakan pada sesuatu. Tiada serupa sesuatu atas-Nya. Tetapi Dialah cahaya langit dan bumi. Cahayanya di atas cahaya. Terangnya cahaya lebih terang daripada sinar matahari. Pecah matanya apabila ia memandang sinar tajalli haq-Nya yang mulia.

Sebagaimana yang diberitakan oleh Imam Abdullah Ibnu Abbas RA, katanya, kita mendapat tahu bahawa Nabi Isa dan Nabi Yahya AS ketika berjalan-jalan di sebuah jalanan, tiba-tiba Yahya terlanggar seorang wanita, maka berkatalah Isa kepadanya, "Hai anak ibu saudaraku! Engkau telah melakukan suatu dosa yang besar!". Yahya menjawab, "Apa dia?". Berkata Isa, "Engkau telah menyinggul seorang wanita". Kata Yahya, "Demi Allah! Aku tidak sedar apa yang telah berlaku". Maka berkata Isa, "SubhanAllah! Dirimu bersamaku, tetapi di mana hatimu dan rohmu?". Jawab Yahya, "Di sisi Allah. Hai Isa! Seandainya hatiku bertenang di sisi Jibril, atau di sisi sesiapa pun selain Allah, nescaya aku merasakan bahawa aku sudah tiada mengenali Allah sebenar-benar pengelanan".

Manakan lagi kecantikan sang bidadari, jika dibandingkan Empunya yang memiliki segala keindahan, tentu sahaja nilainya hanya setitik air di lautan. Memandang-Nya sesaat bagaikan tiada penghujung masanya. Tiada henti ingatan dan pujian pada diri-Nya. Tiada lagi senda gurau melainkan tawa seorang ahli 'arifin yang keriangan bersama Tuhannya yang tercinta. Di lubuk hatinya yang tersimpan dendam rindu mendalam yang membara, akhirnya terbuka jua hijab yang membawa pertemuan dirinya dengan-Nya. Sambutlah ia pada tangan-Nya dan menjadilah ia seorang hamba-Nya lalu masuklah ke syurga abadi-Nya.

Bukankah itu pencarian sebenar seorang hamba dan perjalanan hakiki seorang salik? Jauh merentasi menuju ke hadratnya, namun terasa semakin dekat hatinya untuk berhubungan mesra dengan-Nya. Pandangan itu telah dilipatkan sehingga sedekat-dekatnya didekatkan padanya sehingga tiada lagi hijab antara dia dan Allah. Bersatu dalam ketuhanan yang agung. Keberadaan kehambaan memukat dirinya yang dibawah genggaman tangan-Nya. Sememangnya terpesona seseorang yang menemukan khazanah berharga tersembunyi pada terang setelah lama penantian dan peredahannya, lalu dibawakan pula syahdu kenikmatan yang terus melimpahkan rahmat yang tiada tertanggung banyaknya. Tiada lagi untuk dicita-citakan dan diharapkan melainkan tempat yang disandarkan itu dijejaki dan bersimpuh di penghujung jalannya.

Sayyid Imam Ahmad ar-Rifa'i dapati pada setengah berita lama bahawasanya Nabi Isa bin Marya AS mendatangi sekumpulan manusia yang sangat kurus kering badan mereka dan berubah pula paras rupa mereka. Lalu Nabi Isa AS bertanya, "Mengapakah kamu sekalian menjadi begini?". Jawab mereka, "Kerana takut pada api neraka". Ujar Nabi Isa AS, "Wajarlah kalau begitu, Allah mengamankan orang-orang yang takut itu!".

Kemudian Nabi Isa AS melihat pula sekumpulan orang yang badan-badan mereka lebih kurus kering dari sekumpulan orang yang pertama tadi, dan paras wajah mereka lebih pucat lesi. Lalu Nabi Isa AS bertanya pula, "Apakah sebabnya sampai kamu menjadi begini sekali?", jawab mereka, "Kami terlalu rindu dan inginkan syurga". Maka ujar Nabi Isa AS, "Wajalah kalau begitu Allah menyampaikan hajat orang-orang ini!".

Kemudian Nabi Isa AS menemui pula sekumpulan orang yang lebih kurus kering lagi badan-badan mereka dan paras wajah mereka lebih pucat lesi dari kumpulan orang yang di atas dan ia merasa takjub lagi, lalu berkata, "Bagaimana kamu sampai menjadi begini sekali?". Maka berkata mereka, "Kerana sangat cinta kepada Allah dan rindu kepada-Nya". Maka ujar Nabi Isa AS, "Kamulah orang-orang yang terdekat kepada Allah!". Diucapkan sampai tiga kali.

Diriwayatkan bahawa Malik bin Dinar dan Tsabit al-Bunani, moga-moga Allah menurunkan rahmat kepada keduanya, sekali peristiwa mereka datang menemui Rabi'ah Al-Bishriyyah, maka Rabi'ah berkata kepada Malik, "Sila beritahuku, mengapa engkau menyembah Allah?". Menjawab Malik, "Kerana keinginanku kepada syurga!". Kemudian Rabi'ah berpaling kepada Tsabit seraya bertanya, "Dan engkau pula si pembantu?". Jawab Tsabit, "Kerana takut kepada api neraka!".

Maka Rabi'ah lalu menyatakan kepada Malik, "Engkau wahai Malik! Seumpama si orang yang mengambil yang buruk. Engkau tidak bekerja kecuali tamak kepada bayaran". Kemudian Rabi'ah berpaling kepada Tsabit seraya berkata, "Dan engkau pula, wahai Tsabit! Engkau seperti hamba yang buruk. Engkau tidak bekerja melainkan kerana takut dipukul tuanmu!".

Ketika itu kedua-dua Malik dan Tsabit berkata kepada Rabi'ah, "Baiklah! Dan engkau pula wahai Rabi'ah, bagaimana pula?". Jawab Rabi'ah, "Aku menyembah Allah kerana cinta kepada-Nya dan terlalu ingin untuk menemui-Nya!".

Biarlah apa pun yang berlaku. Sang pecinta akan terus menerus mengingati Allah yang dicintainya. Pada setiap hembusan nafasnya, kerdipan matanya, denyutan nadinya, degupan jantungnya, detikan masanya, aliran darahnya dan bergilapnya cahaya semuanya dihiasi dengan makrifatullah yang penuh dengan kecintaan. Orang yang tidak mengerti pastinya akan terus bertambah-tambah dengki dan bencinya. Dengan pelabelan jahat dan kotor semata-mata terus memprogandakan orang untuk menyebarkan ketakutan dan kesesatan pada orang agar menjauhi kekasih Allah, mereka akan terus mengaut keuntungan duniawi yang terus memperdaya mereka. Ucapan zahirnya menampakkan kebagusannya, namun Allah tidak akan membiarkan mereka memadamkan cahaya Allah itu. Kebenaran tetap akan dijulang walaupun lama masanya untuk diambil kerana janji Allah tiada pernah dimungkiri. Hanya orang-orang buta sahaja tidak nampak kenyataannya itu.

Jadilah seorang yang meredhai dan diredhai Allah wahai sahabat! Sesungguhnya tiada lagi sahabat dan teman mahupun kekasih yang sejati melainkan Allah Ta'ala yang menjadi pengisi hati yang terus bergelumang dengan pencarian sebenar kehidupan ini. Orang-orang yang menemukannya pasti faham bagaimana hebatnya sebuah era kehidupan mereka yang bagaikan sebuah kelahiran semula daripada lamunan mimpi yang berpanjangan hinggalah kesedaran yang mutlak. Hanyasanya yang mencintai Allah pastinya akan terbalas rahmat dan kasih yang imbalannya lebih daripada apa selain-Nya dapat lakukan. Kebaikan yang tiada dapat dibandingkan kemurahannya sememangnya tiada perlu lagi untuk mencari yang lain. Cukuplah Allah sebagai pelindung dan wakil kita.

Selamilah sedalam-dalamnya kerohanian yang halus yang mampu membuka hijab dan menyemai jiwa-jiwa sepertimana terubatnya orang 'arifin daripada penyakit yang menderita kerana tiada yang lebih bahagia melainkan bertemunya dengan Allah yang dirindui. Impian, cita-cita dan harapan untuk mendapatkan redha di sisi-Nya sememangnya menjadi tempat tujuan dan persandangan bergantungnya tiap-tiap makhluk. Namun, semua itu tiadalah semudah sepertimana angan-angan dan ilusi terus berfantasi tentang khayalan, kerana realitilah yang melahirkan tangisan yang akan dimudahkan pada kesulitan yang dihadapinya. Semoga menemukan cinta sejati yang hakiki.

"Dan orang yang berjihad untuk Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik" (Surah al-'Ankabut ayat 69).

-Haalatu Ahlil Haqiqah Ma'allah (Benteng Diri Ahli Hakikat), Saiyid Ahmad ar-Rifa'i, terjemahan Syed Ahmad Semait, terbitan Pustaka Nasional PTE LTD Singapura.
-Indahnya Tasawuf dan Hidup Sufi, Ustaz Yusri Abd. Karim, terbitan Yamani Angel.
-Riyadus Solihin, Imam an-Nawawi, terbitan Al-Shafa.m